Assalamualaikum
w.b.t..
Bermula daripada 3
April 2013 yang lepas, Kolej Za’ba telah mengadakan Hari Terbuka dan ianya
berlangsung selama lima hari berturut-turut. Pelbagai aktiviti menarik telah
diadakan dan mendapat sambutan yang baik dari semua pihak. Antara aktiviti yang
paling menarik perhatian saya ialah Pertandingan Puisi dan aktiviti ini terbuka
kepada semua pelajar UPSI dan juga masyarakat luar. Pertandingan ini telah
diadakan pada hari Jumaat iaitu pada 5 April 2013. Pertandingan puisi ini
mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Turut diundang artis jemputan Diana
amir dan dia juga menyampaikan puisi
yang ditulisnya sendiri.
Pada pendapat saya,
aktiviti seperti ini sangat bagus kerana melalui aktiviti ini kita dapat
belajar atau mengetahui cara untuk menghasilkan puisi, cara untuk menyampaikan
puisi dan sebagainya. Di samping itu, kita juga dapat memperkenalkan puisi yang
menjadi salah satu keunikan di negara kita kepada masyarakat luar terutamanya
kepada pelajar luar negara yang belajar disini. Bukan itu sahaja, melalui
aktiviti ini juga kita dapat mencungkil bakat-bakat terpendam dalam
menyampaikan puisi serta dapat melatih mereka dalam penggunaan bahasa yang
betul.
Bahasa puisi adalah
bahasa yang indah dan bukan semua orang mampu untuk menghasilkan dan
menyampaikannya dengan berkesan. Dengan aktiviti seperti inilah kita mendapat
kelebihan untuk mempelajari dan mengenali apa itu puisi dengan lebih dekat
lagi. Melalui pemerhatian juga seseorang itu dapat belajar dan kerana itulah
seorang penonton juga mendapat manfaatnya ketika menyaksikan persembahan puisi
dari peserta. Oleh itu, aktiviti seperti ini perlu diadakan lagi kerana minat
dalam puisi perlu dipupuk dan kita perlu berusaha untuk menjadikan ia sebagai
satu aktiviti yang menarik dan seronok. Tambahan pula, secara tidak langsung
kita dapat meningkatkan penguasaan bahasa kita kerana untuk berpuisi seseorang
itu perlu tahu untuk berbahasa dengan baik J
No comments:
Post a Comment