Salam.. hye olls..
saje je lama xmenyonteng kat sini..
new status? ya.. actually i dah jadi tunang orang you... hehe. unbelievable and really2 unexpected.
tak pernah ku bayangkan akan menjadi tunangan org semuda ini, ceh motif sgt kann..
well, dah jodoh.. we just planned and Alhamdulillah Allah permudahkan..
Disebabkan ktorang ni xnak ikat lama2, bulan 11 ni In Shaa Allah i become his wifey!
excited? nervous? tak sabar? entahla.. semua tu aku rasa skang ni, xtaw nak explain mcamana.
so, berbaki beberapa hari je lagi untuk aku menghabiskan masa bujangku.. hehe . sekali lagi rasa xpercaya mengahantui diri. ohh!
Banyak sgt benda yang aku kena buat dalam masa 2 buan pertama ni, oh salah, da nak tnggal sebulan dah pun. nk buat last preparation, assingment, nak pikir pasal tarian, pasal makan and mcm2 lagi lah.
so.. aku harap semuanya akan berjalan dgn lancar and semoga dipermudahkanNya. amin.. :)
sampai sini jela, malas nak ngarut panjang2. focus buat assgment oakkayy!.
bye2!
Monday, September 23, 2013
Monday, April 15, 2013
Budi bahasa
Assalamualaikum..
Cerita yang saya ingin kongsikan hari ini ialah tentang adab kita
bertutur dengan orang lain. Kisah ini berlaku apabila saya ingin menaiki bas
dari Kuantan ke Tanjung Malim. Pada pagi itu, ibu dan ayah saya menghantar saya
ke terminal bas. Seperti biasa, ayah dan ibu saya akan menghantar saya terus ke bas
dan membantu saya mengangkat barang. Sewaktu sampai ke bas yang ingin saya
naiki, pemandu tersebut melaungkan “Temerloh, Temerloh....”.( satu daerah di Pahang)
Pada papan tanda bas
tersebut tertulis Tanjung Malim, Ipoh dan beberapa tempat lain. Bagi mendapatkan
kepastian, ayah saya bertanya kepada pemandu tersebut sama ada betul atau
tidak bas itu mahu ke Tanjung Malim kerana pemandu tersebut hanya menyebut Temerloh. Apa yang mendukacitakan
saya,pemandu tersebut tidak mengendahkan pertanyaan ayah saya. Sekali lagi ayah
saya bertanya barulah pemandu tersebut mengangguk tetapi masih dalam keadaan
mukanya yang masam.
Pada pendapat saya, perkara seperti ini tidak sepetutnya berlaku
kerana kami sebagai pelanggan berhak mendapat layanan yang baik. Tambahan pula,
bukankah kita sudah diajar untuk berbudi
bahasa? Mengapa perlu menunjukkan sikap yang negatif kepada khalayak. Semoga
perkara seperti ini tidak berulang lagi kerana dikhuatiri budaya hormat
menghormati yang sering dipupuk sejak kita kecil hilang begitu sahaja.
Sekian J
Tuesday, April 9, 2013
Belajar bahasa :)
Assalamualaikum..
Hari ini saya akan menceritakan tentang mempelajari bahasa baru. Bagi diri saya sendiri, saya sangat berminat untuk mempelajari bahasa Korea. Tambahan pula, saya dan kakak saya berkongsi minat yang sama. Minat untuk belajar bahasa Korea, menonton filem korea dan mendengar lagu-lagu Korea. Walaupun dengar lagu kami tidak faham, tapi disebabkan minat kami masih boleh mengikut lagu tersebut dan secara perlahan-lahan kami cuba mencari maksud lagu tersebut.Begitu juga ketika saya ingin mempelajari bahasa Inggeris, saya lebih gemar menggunakan muzik atau lagu untuk mempelajari bahasa tersebut. Di samping dapat berhibur saya juga dapat mempelajari bahasa yang digunakan dalam lagu tersebut.
Selain itu, kami juga sering mempraktikkan percakapan dengan menggunakan bahasa Korea walaupun hanya menggunakan perkataan yang mudah sahaja seperti terima kasih,minta maaf dan bertanyakan perkataan-perkataan mudah. Serba sedikit perkataan yang saya tahu dalam bahasa Korea adalah seperti :
Terima kasih : Kamsahamnida
Hai / hello : Anneyonghaseyo
Tahniah : chughahaeyo
Selamat tinggal : jalgayo
Siapakah nama kamu ? : ileum-i mwo-eyo
Nama saya ialah Nadzirah : jeoneun nadzirah eyo
Itu lah sedikit sebanyak yang saya boleh kongsikan. Semoga terhibur dan saya berharap suatu hari nanti saya lebih mahir berbahasa Korea dan juga bahasa-bahasa lain supaya saya menjadi multilinguisme J
Monday, April 8, 2013
Malam Puisi..
Assalamualaikum
w.b.t..
Bermula daripada 3
April 2013 yang lepas, Kolej Za’ba telah mengadakan Hari Terbuka dan ianya
berlangsung selama lima hari berturut-turut. Pelbagai aktiviti menarik telah
diadakan dan mendapat sambutan yang baik dari semua pihak. Antara aktiviti yang
paling menarik perhatian saya ialah Pertandingan Puisi dan aktiviti ini terbuka
kepada semua pelajar UPSI dan juga masyarakat luar. Pertandingan ini telah
diadakan pada hari Jumaat iaitu pada 5 April 2013. Pertandingan puisi ini
mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Turut diundang artis jemputan Diana
amir dan dia juga menyampaikan puisi
yang ditulisnya sendiri.
Pada pendapat saya,
aktiviti seperti ini sangat bagus kerana melalui aktiviti ini kita dapat
belajar atau mengetahui cara untuk menghasilkan puisi, cara untuk menyampaikan
puisi dan sebagainya. Di samping itu, kita juga dapat memperkenalkan puisi yang
menjadi salah satu keunikan di negara kita kepada masyarakat luar terutamanya
kepada pelajar luar negara yang belajar disini. Bukan itu sahaja, melalui
aktiviti ini juga kita dapat mencungkil bakat-bakat terpendam dalam
menyampaikan puisi serta dapat melatih mereka dalam penggunaan bahasa yang
betul.
Bahasa puisi adalah
bahasa yang indah dan bukan semua orang mampu untuk menghasilkan dan
menyampaikannya dengan berkesan. Dengan aktiviti seperti inilah kita mendapat
kelebihan untuk mempelajari dan mengenali apa itu puisi dengan lebih dekat
lagi. Melalui pemerhatian juga seseorang itu dapat belajar dan kerana itulah
seorang penonton juga mendapat manfaatnya ketika menyaksikan persembahan puisi
dari peserta. Oleh itu, aktiviti seperti ini perlu diadakan lagi kerana minat
dalam puisi perlu dipupuk dan kita perlu berusaha untuk menjadikan ia sebagai
satu aktiviti yang menarik dan seronok. Tambahan pula, secara tidak langsung
kita dapat meningkatkan penguasaan bahasa kita kerana untuk berpuisi seseorang
itu perlu tahu untuk berbahasa dengan baik J
Wednesday, April 3, 2013
Eja dengan betul!
Assalamualaikum..
J
Hari ini
saya sengaja nak berkongsi cerita tentang masalah ejaan yang dihadapi oleh
golongan remaja pada masa kini. Baru-baru ini saya ada mendapat mesej atau (SMS)
dari rakan saya, antara contoh mesej yang membuatkan mata sayaberbulu nak baca
dan lidah pun terbelit nak sebut :
“ko buat
apew tuw? Cuti nanti balek x?” ( kau buat apa tu? Cuti nanti balik tak?)
“ye kew?”
( Iya ke)
“tana
gtaw letew” ( tak nak bagitau lah tu)
Saya pun
tidak faham dan tidak tahu kenapa mereka ingin mengubah ejaan ini sehinggakan
saya rasa nak sebutnya pun susah. Kan lagi bagus kalau kita menggunakan perkataan dan
ejaan yang senang difahami supaya mesej yang nak disampaikan itu sampai dengan
tepat kepada penerima. Saya tak nak tulis panjang, apa kata kita tengok apa
pula yang dikatakan oleh Anwar Hadi (Vlogger) tentang masalah ini :
Klik
disini untuk melihat video Anwar Hadi
Lagi
satu, ada juga remaja atau golongan lelaki yang menggunakan ejaan seperti ini.
Sejujurnya, ia tidak membuatkan anda nampak comel sebaliknya membuatkan anda
kelihatan seperti “mengada-ngada” untuk nampak comel (jangan marah) :p.
p/s : Lagi
comel atau macho jika anda menggunakan ejaan yang betul J
Monday, April 1, 2013
Kesopanan dan kesusilaan :)
Assalamualaikum..
Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.. J
Baiklah,
cerita kali ini tidak panjang tetapi sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran
kepada kita. Pada hujung minggu yang lepas saya dan rakan pergi ke Kuala Lumpur
untuk membeli sedikit barang. Di samping membeli barang, saya juga gemar
memerhati tingkah laku manusia terutamanya yang berada di kota-kota besar
seperti di Kuala Lumpur.
Sewaktu
saya dan rakan duduk berehat sebentar di kerusi yang disediakan di pasaraya
itu, sempat saya melihat gelagat sekumpulan remaja di sana. Apa yang dapat saya
katakan mereka sering menggunakan kata sapaan
seperti hai, hey dan bro. Pakaian mereka juga boleh dikatakan agak “kebaratan”.
Mereka juga bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, bertepuk tampar tanpa
mengira jantina. Apa yang mendukacitakan ialah mereka merupakan remaja Melayu
dan beragama Islam.
Apa yang
dapat saya katakan disini ialah, mereka sepatutnya menjaga batas-batas
pergaulan antara lelaki dan perempuan, menjaga adab ketika bebicara dan berpakaian sopan. Agama Islam sudah mengajar
bagaimana cara kita berpakaian sepatutnya, cara berkomunikasi dengan orang lain
dan sebagainya. Selain itu, budaya Melayu juga lebih dikenali dengan sifat yang sopan santun
dan berbudi bahasa. Mengapa tidak kita mengekalkan ciri tersebut? Seharusnya
kita sebagai anak muda menjaga nama baik orang Melayu dan juga menjaga maruah
kita sebagai orang Islam.Tidak perlulah kita mengikut budaya Barat yang jelas
jauh terpesong dengan budaya kita. Renung-renugkan… J
Friday, March 29, 2013
Saya berbahasa Inggeris. :)
Assalamualaikum..
Situasi
yang saya ingin kongsikan pada hari ini ialah situasi apabila saya dari KTM dan
ingin pulang ke kolej. Ketika itu, ada enam orang pelajar dari luar Negara juga
ingin pulang ke kolej. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka bertanya kepada
saya,
“You
want to go to KAB?”
“Yes, I
want to go to KAB” jawabku.
“Can we
share the taxi”.
“Yes
sure, why not.” Kataku lagi
“Good,
its more save right”
“yes”
jawabku sambil tersenyum.
Apabila
teksi sampai kami pun menaiki teksi tersebut. Sepanjang dalam perjalanan dari
KTM ke kolej kami sempat berkenalan. Namanya Irin dan berasal dari Amerika
Syarikat. Irin mengambil jurusan psikologi di dan dia baru sahaja berumur 19 tahun.
Walaupun baru berusia 19 tahun tapi perwatakannya nampak matang dan dia juga
seorang yang ceria. Selain itu, sempat juga saya bertanya kepadanya,
“What do
you think about Malaysia? Do you like it? ”
“Yes I
like it, its fun and there are many interesting places that I want to go. I
just go to Batu Caves and that was great!”. Katanya dengan penuh ceria.
“Oh.. so
how about the food? What do you like to eat?
“ I like
to eat fried rice but I never try to eat nasi lemak”
“I think
you should try once, its delicious.”
“yeah, I
also think like that “
Setelah
berbual, sampailah kami ke kolej. Kami saling mengucapkan selamat tinggal dan
berharap untuk berjumpa lagi.
Melalui
peristiwa ini saya berasa sangat gembira kerana dapat berkomunikasi dengan
orang dari luar negara. Walaupun, pada mulanya saya berasa kurang yakin untuk
berbual dalam bahasa Inggeris tetapi memandangkan sikap Irin yang peramah
membuatkan saya berasa yakin untuk bercakap dalam bahasa Inggeris. Bukan itu
sahaja, sebagai rakyat Malaysia kita juga perlu menunjukkan sikap yang baik
kepada mereka dan memberi layanan yang baik supaya mereka tidak memandang
serong kepada masyarakat di negara kita. Di samaping dapat menguji tahap
penguasaan bahasa Inggeris diri saya, saya juga sedikit sebanyak dapat
menunjukkan sikap orang Melayu yang mesra dan tidak sombong.
In Shaa Allah.. J
In Shaa Allah.. J
Thursday, March 28, 2013
Budi bahasa budaya kita...
Assalamualaikum…
Kisah
yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah tentang cara kita berkomunikasi
dengan oraang lain. Kisah ini berlaku pada suatu pagi di bangunan E-Learning. Pada
pagi itu, saya dan rakan ingin pergi ke bilik pensyarah di tingkat satu.
Sewaktu kami masuk ke bangunan tersebut kami melihat ada beberapa orang pekerja
sedang mencuci lantai. Seperti kebiasaanya, saya dan rakan tahu untuk tidak
memijak kawasan yang telah dicuci oleh pekerja-pekerja itu. Baru sahaja kami
melangkah masuk, tiba-tiba ada seorang makcik
( salah seorang daripada pekerja)
menjerit kearah kami,
“lalu
ikut sini!”
Saya dan
rakan berasa agak terkejut dengan tindakan makcik itu, bukannya kami tidak tahu
laluan yang sepatutnya kami lalu. Apalah salahnya jika makcik itu memberitahu
dengan nada atau intonansi yang lebih lembut. Kan lagi elok bunyinya. Selepas kami selesai berjumpa dengan
pensyarah, kami turun semula untuk keluar dan dengan berhati-hati kami lalu
dihadapan makcik tadi. Kebetulan di hadapan kami ada seorang pelajar lelaki
yang mendahului langkah kami. Tiba-tiba sewaktu pelajar lelaki itu ingin keluar
kakinya pula tersangkut alas kaki yang tertulis “welcome” di hadapan pintu
masuk E-Learning tersebut. Kemudian datang seorang pakcik dari arah belakang
datang untuk membetulkan alas kaki yang tersingkap itu sambil berkata,
“Bodoh
betul! Jalan tak pakai mata ke?”
Sekali
lagi saya dan rakan berasa terkejut dengan perkataan yang digunakan oleh pakcik
itu. Hairan juga, kenapa pagi itu semua orang bercakap tanpa menjaga perasaan
orang lain. Walau pun kami lebih muda, tetapi sepatutnya kita masih perlu
saling hormt menghormati. Bahasa yang digunakan juga mestilah sesuai dengan
keadaan dan dengan siapa kita berbicara. Bukanlah nak cakap yang kami sebagai
pelajar perlu dihormati, tapi kami juga sering menghormati pekerja-pekerja di
UPSI ini tidak kira siapa pun dia.
Pada
pendapat saya, sepatutnya mereka yang lebih matang ini perlu menunjukkan contoh
yang baik kepada kami. Cara berkomunikasi dengan orang sudah cukup untuk
menggambarkan keperibadian kita. Baik budi bicara kita, maka baiklah peribadi
kita. J
Tuesday, March 26, 2013
Hak pengguna
Assalamualaikum..
Hari ini saya akan menceritakan sedikit pengalaman saya ketika ingin pulang ke kampung pada hujung minggu yang lepas. Saya ingin pulang ke Pahang, tetapi menaiki bas Terengganu ( nama bas dirahsiakan). hehe. Ceritanya begini, sebelum bas tersebut mengambil saya di Kolej, bas tersebut mengambil pelajar kolej KUO dan KHAR dahulu dan kemudian baru pergi ambil kami yang berada di kolej Za'ba. Selepas mengambil kami, pemandu tersebut mengambil pula pelajar di Kolej KHAR lama dan pelajar di Taman Bahtera.
Apa yang saya rasa tidak patut disini ialah, pelajar yang naik di Taman Bahtera itu tidak mendapat tempat duduk. Pada mulanya, pemandu tersebut meyuruh dua orang pelajar lelaki untuk duduk di bahagian belakang bas, tanpa tempat duduk. Pemandu tersebut berkata, " dik duduk dekat sini dulu sementara sampai ke KL, sampai KL adik naik bas lain". Dua orang pelajar lelaki itu, duduklah di bahagian belakang bas itu. Sudah lah sempit, tempat duduk keras pula tu. Bukan itu sahaja, seorang pelajar perempuan juga tidak mendapat tempat duduk, dia duduk di tangga dekat dengan pemandu.
Bas itu pun meneruskan perjalanan dan sepanjang perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur saya tertidur. Apabila saya tersedar, kami telah pun berada di Tol Gombak dan yang mengejutkan saya tiga orang pelajar tadi masih ada dalam bas kami dan masih tidak mendapat tempat duduk. Mereka terpaksa duduk di lantai bas. Bayangkan mereka terpaksa duduk di tempat yag tidak sepatutnya sepanjang perjalanan dari Tanjung Malim hingga ke Kuantan. Di Kuantan, agak ramai penumpang yang turun termasuklah saya. Selepas kami turun baru mereka mendapat tempat duduk.
Bagi saya, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka membeli tiket dengan harga yang sama seperti penumpang yang lain, tetapi mereka terpaksa duduk dalam keadaan yang tidak selesa selama beberapa jam. Saya rasa, pihak bas tidak sepatutnya menjual tiket tanpa melihat berapa penumpang yang sudah membeli. Hal ini kerana, sebagai pengguna kami berhak untuk mendapat khidmat yang terbaik.
Sekian terima kasih :)
Monday, March 25, 2013
Selamat Hari Lahir !
Assalamualaikum..
semoga sentiasa dalam keadaan yang baik :)
Baiklah,
memandangkan pada 24 Mac 2013 yang lepas, usia saya telah genap 22 tahun, hari
ini saya akan menceritakan tentang Hari Lahir atau ucapan yang sering diucapkan ketika kita
menyambut hari lahir.
Alhamdulillah..
ramai rakan-rakan yang mengucapkan selamat hari lahir kepada saya dan ada juga
rakan serumah yang membuat kejutan dengan memberi kek hari jadi kepada saya.
Terima kasih kawan! :). Baiklah, bukan itu yang saya nak cerita sebenarnya,
tetapi apa yang saya nak ceritakan ialah apa yang saya perhati sepanjang hari
istimewa saya itu. Kebanyakan rakan saya mengucapkan Happy Birthday berbanding
menggunakan Selamat Hari Lahir, Selamat Ulang Tahun dan sebagainya.
Mengapa?
mungkin kerana sudah terbiasa menggunakan ucapan dalam bahasa Inggeris atau
mungkin kerana nampak lebih moden. Tidak kurang juga, rakan-rakan facebook memberi ucapan dengan hanya
menaip HB, iaitu singkatan kepada Happy Birthday. Sebagai masyarakat Melayu apa
salahnya jika kita menggunakan bahasa Melayu untuk memberi ucapan. Tidak
kiralah ucapan untuk hari lahir, ucapan tahniah atau sebagainya. Kata nak
memartabatkan bahasa Melayu.. kan?
Apa-apa
pun, saya hargai dengan semua ucapan hari lahir yang diucapkan oleh rakan-rakan
saya, tidak kiralah dalam bahasa Melayu ke, bahasa Inggeris, bahasa Arab
mahupun bahasa Cina. Semuanya membawa maksud yang sama dan saya sangat hargai..
Terima
Kasih :)
Friday, March 22, 2013
Bahasa Rojak!
Assalamualaikum..
Hari
ini saya akan menceritakan atau mengetengahkan tentang isu bahasa rojak. Apa
itu bahasa rojak? Bukan rojak buah, mee rojak mahupun rojak singapura. hehe..
:p Bahasa rojak ini adalah suatu jenis percakapan di Malaysia yang mencampurkan
pelbagai bahasa dalam satu pertuturan yang serupa dengan pijin, Manglish dan
Singlish. Walau bagaimanapun, bahasa dasarnya ialah bahasa Melayu.
Antara
sejarah bahasa rojak ialah, ianya telah dikesan seawal zaman Kesultanan Melayu
Melaka apabila satu entrepot antarabangsa didirikan oleh Parameswara pada tahun
1402 di Melaka dan pelabuhan ini menarik ramai pedagang dari luar.
Pedagang-pedagang ini bertutur lebih daripada 80 bahasa yang datangnya dari
pelbagai budaya dan bangsa yang berbeza. Bermula daripada peristiwa inilah
mereka mula mencampur bahasa dalam percakapan mereka kerana berlakunya bertembungan
budaya ketika melakukan perdagangan. Bahasa ini kemudiannya melarat sehingga ke
zaman sekarang.
Kini,
bahasa rojak lazimnya digunakan dengan mencampurkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris
dan juga bahasa Melayu dengan bahasa Cina. Masalah ini telah
"dijangkiti" oleh golongan remaja dan ini menyebabkan kita berasa
khuatir kerana mereka tidak sepatutnya didedahkan dengan bahasa ini. Bukan itu
sahaja, pengacara televisyen juga turut menggunakan bahasa rojak ketika
mengacarakan sesuatu rancangan televisyen. Hal ini boleh menyebabkan masyarakat
berasa biasa dengan bahasa tersebut dan tidak menganggap ianya sebagai satu
masalah yang serius. Walau bagaimanapun, kerajaan turut melakukan usaha-usaha
untuk memperbaiki masalah ini. Sebagai contoh, TV3 telah menukar nama Karnival
Sure Heboh kepada Karnival Jom Heboh untuk mengelak daripada penggunaan bahasa
rojak.
Antara
contoh bahasa rojak ialah :
1.
Bahasa melayu + bahasa Inggeris :
kau memang terror (hebat) la !
2.
Bahasa Melayu + bahasa Cina :
Nak
makan sini ke nak tapau( bungkus) ?
Selain
itu, tajuk-tajuk dalam filem Melayu juga turut menggunakan bahasa rojak.
Contohnya :
1.
Senario The Movie
2.
Lu Pikrlah Sendiri The Movie
3.
Antoo Fighter
Jadi,
siapa nak dipersalahkan? Sama-samalah kita menjaga bahasa kita dan
menggunakannya dengan sebaik mungkin. Bahasa kita merupakan khazanah kita dan
ianya patut dijaga sampai bila-bila.
p/s
: Makan rojak sedap.. tapi guna bahasa rojak tak "sedap"! :)
Thursday, March 21, 2013
Bahasa Slanga?
Assalamualaikum..
Selamat
pagi semua (kalau baca waktu pagi) :p
Baiklah,
hari ini saya akan menceritakan tentang bahasa slanga. Seperti yang kita dapat lihat, masyarakat kini
banyak menggunakan bahasa slanga tidak kira peringkat umur, tetapi lazimnya
digunakan oleh golongan remaja. Jadi, apa itu bahasa slanga? Menurut Kamus Oxford, slanga ialah satu
perbendaharaan kata yang khusus digunakan oleh sekumpulan manusia yang rendah
kedudukannya. Sementara itu, Nik Safiah Karim pula mendefinisikan Slanga
sebagai bahasa terhad (restricted language) kerana mempunyai cirri tertentu dan
hanya diunakan oleh golongan tertentu sahaja.
Selain itu, ada yang menganggap
bahasa slanga adalah bahasa mesra kerana ianya digunakan kepada kenalan rapat. Walau bagaimanapun, bahasa slanga yang kini
mendapat tempat dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja semakin membimbangkan
pencinta bahasa Melayu dan ahli bahasa kerana bahasa ini sedikit sebanyak
merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan
bahasa kebangasaan di negara kita.
Antara
contoh perkataan bahasa slanga ialah :
1. Tahu : tau / taw
2. Macam ini : camni
3. Telefon : tepon / fon
4. Untuk : tuk
5. Kenapa : nape
Sebenarnya
banyak lagi contoh perkataan yang lazimnya digunakan oleh golongan remaja
terutamanya apabila mereka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Perkataan-perkataan
ini digunakan dalam sistem (SMS) kononnya untuk lebih menjimatkan kos. Apa yang
dirisaukan ialah, mereka menggunakan
perkataan-perkataan ini sehingga dalam penulisan karangan. sebagai contoh :
Perkara
ini jika tidak diberi perhatian dikhuatiri akan merosakkan bahasa Melayu kita
yang sememangnya indah ini. Bahasa Melayu memang sudah sedia mudah dan mengapa
kita mahu memudahkannya lagi sehingga mencacatkan bahasa tersebut? Disebabkan hal
ini. Ibu bapa, guru, ahli bahasa, masyarakat dan sebagainya perlu memainkan
peranan dalam menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu kita. Jika bukan kita,
siapa lagi? Tepuk dada tanya fikiran kita..
Sekian
J
Wednesday, March 20, 2013
belajar bahasa
Assalamualaikum w.b.t J
Semoga sihat semuanya..
Kalau sebelum ini saya menceritakan tentang anak-anak Melayu yang dilahirkan di Amerika Syarikat tidak tahu atau tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu, tapi pada hari ini saya akan menceritakan tentang seorang rakyat Amerika Syarikat yang tahu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baiknya.
Namanya ialah Ben Bradshaw. Sebelum ini Ben pernah belajar di Malaysia dan itu menyebabkan dia pandai berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Apa yang menarik dalam videonya, Ben cuba untuk mengajar bahasa Inggeris kepada orang Melayu sebagai contoh, cara sebutan dalam bahasa Inggeris, perbezaan perkataan yang hampir sama dalam bahasa Inggeris dan sebagainya. Yang lebih menarik ialah Ben mengajar dengan menggunakan bahasa Melayu. Antara videonya ialah…..
Klik di bawah ini ok J
Bagi saya, saya sangat bangga kerana ada masyarakat luar yang mahu belajar bahasa Melayu dan mahir bertutur dalam bahasa kebangsaan kita. Jika orang luar ingin mendalami bahasa kita, mengapa tidak kita yang sememangnya lahir dengan bahasa tersebut? Di samping itu, sikap Ben ini turut boleh dipuji kerana disamping belajar bahasa kita, dia juga mahu kita mengetahui bahasanya. Sikap seperti inilah yan kita perlu contohi kerana sentiasa berusaha untuk mengetahui atau menguasai pelabagai jenis bahasa.
Cintailah bahasa kita J
Tuesday, March 19, 2013
Yang mana satu bahasa ibunda?
Saya
tertarik mengenai Ibu bapa warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara
seperti di Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan sebagainya yang kemudiannya
melahirkan anak di sana. Anak mereka ini tidak tahu menuturkan bahasa Melayu
walaupun ibu bapa mereka merupakan orang Melayu dan warganegara Malaysia.
Persoalannya, mengapa hal ini berlaku? Ianya adalah kerana kanak-kanak ini
tidak didedahkan dengan bahasa Melayu sama ada di rumah mahupun di sekolah. Ibu
bapa lazimnya bertutur dengan menggunakan bahasa Inggeris kerana bahasa
Inggeris merupakan bahasa lingua franca dan mudah digunakan di seluruh negara.
Kanak-kanak
ini semestinya tidak tahu untuk bertutur dalam bahasa Melayu sekiranya mereka
tidak dilatih dan tidak didedahkan dengan bahasa Melayu. Ibu bapa seharusnya
memainkan peranan yang penting dalam memberikan pendedahan kepada anak-anak
tentang bahasa ibunda sebenar mereka. Sekiranya mereka tidak didedahkan dengan
bahasa Melayu, inilah yang akan terjadi……
Jika
diperhatikan, kesemua kanak-kanak ini menyebut perkataan mencakar sebagai
“menkakar”. Ini kerana mereka menyebut perkataan tersebut berdasarkan sebutan
dalam bahasa Inggeris yang mana bunyi bagi huruf c adalah bunyi huruf k. Jadi, siapakah yang
hendak dipersalahkan? Bagi saya, ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang
sangat penting dalam menanamkan rasa sayang anak mereka terhadap bahasa Melayu.
Sekiranya, ibu bapa tidak menekankan penggunaan bahasa Melayu di antara mereka,
saya yakin dan percaya bahawa anak-anak ini tidak mampu untuk bertutur dengan
fasih dalam bahasa Melayu.
Monday, March 18, 2013
sahabat
Assalamualaikum,
Hari ini
saya akan menceritakan tentang nilai-nilai murni yang ditunjukkan oleh sahabat
kepada seorang insan ini.
Hari
itu, aku pergi ke Hari Terbuka yang diadakan di salah sebuah kolej di UPSI.
Seperti biasa, aku dan rakan pergi berjalan di sekitar kawasan tersebut.
Tiba-tiba di satu sudut aku terpandang dua orang sahabat yang sedang membantu
rakannya yang kurang upaya untuk keluar daripada kereta. Dua orang lelaki itu
mengangkat rakannya yang kurang upaya, tidak mampu berjalan itu untuk keluar
dari kereta dan menyediakan semua kelengkapan rakannya itu. Aku melihat
keikhlasan yang ditunjukkan oleh dua sahabat itu, walaupun mempunyai rakan yang
kurang upaya, tidak mampu berjalan dan hanya mampu duduk di atas papan beroda
mereka tetap tidak meninggalkannya atau malu untuk berjalan dengan rakannya
itu.
Melalui
peristiwa ini, saya dapat menyedari akan keikhlasan seorang sahabat kepada
rakannya. Walaupun, mempunyai rakan yang kurang sempurna tetapi dua orang
lelaki itu dapat memberi kesan yang mendalam kepada saya dan rakan.
Bersyukurlah kerana mempunyai rakan disisi kita tidak kira siapa pun dia kerana
rakan meerupakan anugerah daripada Tuhan.
Sekian
dahulu.. Terima kasih.
Saturday, March 16, 2013
Berikan kepada mereka yang lebih memerlukan :)
Hari ini saya akan menyambung cerita dibawah, tetapi dalam situasi, tempat dan masa berbeza. Kali ini ceritanya berlaku di dalam train semasa saya dan rakan dalam perjalanan pulang daripada Sungai Buloh ke Tanjung Malim.
Sewaktu kami tiba di Stesen KTM Sungai Buloh, kami lihat ramai orang sedang menunggu train untuk pulang ke hentian sebelah Rawang dan ke atas. Dalam hatiku berkata "confirm penuh ni, letih la kalau tak dapat duduk". Selepas menunggu beberapa minit, train dari Tanjung Malim pun tiba. Dengan penuh kesungguhan aku dan rakan masuk ke dalam train untuk mendapat tempat duduk. Alhamdulillah, tak sia-sia kami berkejar kerana kami berjaya mendapat tempat duduk. fuuhh! lega.. Tapi, ada juga yang lambat dan tak sempat untuk duduk, jadi terpaksalah mereka berdiri.
Setibanya di hentian Serendah, masuk seorang makcik dengan beberapa buah beg yang nampaknya boleh tahan berat. Tempat duduk pula sudah penuh. Tiba-tiba bangun seorang gadis dan memberikan tempat duduknya kepada makcik tersebut. Makcik itu mengucapkan terima kasih dan menepuk-nepuk bahu gadis tersebut. Alhamdulillah , makcik itu dapat duduk.Saya bukan tak nak bagi makcik tu duduk cuma waktu tu barang yang saya pegang pun sudah penuh tangan (bukan alasan tau). Tapi nasib baiklah ada gadis yang baik hati bagi makcik itu duduk. :)
Jadi, melalui peristiwa ini sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran kepada kita. Sekiranya ada golongan lain yang lebih memerlukan, apa salahnya kalau kita berikan pada mereka dahulu. kan? Nasihat untuk diri saya sendiri juga. In Shaa Allah, sekiranya berada dalam situasi yang sama lagi, saya akan cuba mencontohi sikap gadis tersebut :)
Sekian.. Terima kasih :D
Teksi oh teksi
Pergi ke
KL (bahagian 3)
Apabila
tiba di Kepong Sentral, aku dan rakan terus menuju ke tempat perhentian bas dan
teksi untuk menaiki teksi. Ketika itu
hanya ada sebuah teksi yang tinggal. Aku memberitahu pakcik tersebut bahawa
kami ingin pergi ke One Utama.
Aku :
Pak cik, kami nak pergi ke One utama
Pakcik :
boleh, RM25.00
Terkejut
aku dibuatnya, yelah.. kepong sentral dengan One Utama tidaklah jauh mana. Aku
berkata semula,
Aku :
Mahalnya? Pakai meter tak?
Pakcik :
Tak pakai meter, hari ni hari minggu. Jalan jam.
Aku:
Mahal lah, kalau pakai meter tak sampai
RM20.00 pun.
Mendengar
aku berkata begitu, pakcik tersebut menurunkan harga menjadi RM22.00.
Aku : RM
20.00 sudah lah.
Pakcik :
Tak boleh lah dik, RM2.00 untuk tol.
Macam-macamlah
pakcik ni, oleh sebab aku dan rakan tiada pilihan, terpaksalah juga kami naik
dan akhirnya selamat sampai ke One Utama dengan bayaran RM22.00.
Daripada
situasi ini, saya rasa pakcik tersebut tidak sepatutnya mengambil kesempatan
sedemikian kepada penumpang dengan mengenakan bayaran tambang yang mahal.
Kerajaan juga sudah menetapkan supaya teksi menggunakan meter apabila mengambil
penumpang. Hal ini adalah bagi mengelakkan bayaran mahal yang diletakkan
sendiri oleh pemandu tersebut. Seharusnya, pemandu dan penumpang saling memberi
dan menerima. Pemandu memberi harga yang berpatutan dan penumpang memberi
bayaran dan secara tidak langsung dapat menambah rezeki
pemandu tersebut. Bukannya mengambil kesempatan antara satu sama lain.
Tak apalah, semua itu pengalaman yang saya dan rakan perolehi sepanjang perjalanan
menuju ke Kuala Lumpur.
Sekian
dari saya. Jumpa lagi! J
Koc untuk wanita
Pergi ke
Kl (bahagian 2)
Kisah
ini sambungan daripada kisah diatas. Masih pada hari yang sama tetapi situasi
dan tempat yang berbeza. Situasi ini adalah ketika saya dan rakan di dalam
kereta api.
Setelah
menunggu hampir 20 minit, akhirnya train pun
tiba. Seperti biasa aku akan memilih tempat duduk di bahagian wanita sahaja. Ini kerana tempat
duduk bahagian ini yang paling selesa kerana tidak bercampur dengan lelaki.
Perjalanan daripada Tanjung Malim ke Rawang berjalan dengan lancar. Apabila
sampai di Rawang, kami terpaksa menukar train
untuk ke stesen berikutnya.
Sekali
lagi aku memilih tempat duduk bahagian “koc untuk wanita”. Apabila aku masuk ke dalam train tersebut, bukan sahaja wanita
malah lelaki turut duduk di bahagian tersebut. Bukankah sudah jelas tertulis
“KOC UNTUK WANITA”? Tidak tahu membacakah anda? Aku berasa sangat tidak selesa
kerana terpaksa berkongsi dengan kaum lelaki. 

Bukan
itu sahaja, ada juga pasangan merpati sejoli yang berdrama Hindustan dalam train tanpa menghiraukan mata-mata yang
memandang.
Bukankanh
kerajaan telah menyediakan ‘koc untuk wanita” khas untuk wanita sahaja. Semua
ini adalah untuk keselesaan dan keselamatan kaum wanita. Jadi, tidak perlu
adanya golongan lelaki yang duduk sama
di bahagian tempat duduk wanita. Apabila sampai di Kepong Sentral, aku
keluar dari train dengan perasaan yang sebal.
Oleh
itu, melalui peristiwa ini, kaum lelaki tidak boleh mengambil mudah dan sesuka
hati ingin duduk di mana-mana bahagian dalam kereta api. Hal ini kerana, kami
sebagai wanita berasa kurang senang dan kurang selesa akan kehadiran anda.
Tidak lupa juga kepada pasangan yang sedang hangat bercinta, janganlah membuat
aksi-aksi yang tidak senonoh di depan khalayak kerana semua itu boleh
menjatuhkan maruah anda. Pihak KTM juga perlu memantau penumpang yang naik di
bahagian tempat duduk wanita. Sekiranya ada kaum lelaki, arahkan mereka untuk
duduk di bahagian lain.
Kaum
lelaki sila ambil perhatian.. sekadar ini dahulu.
Terima
kasih
Tolong menolong
Pergi ke
KL (bahagian 1)
Assalamualaikum..
Hari ini
saya akan menceritakan pengalaman saya semasa ingin ke Kuala Lumpur.
Memandangkan hari minggu, jadi kami mengambil keputusan untuk pergi ke Kuala
Lumpur dan membelanjakan baucer buku yang belum kami guna.
Pada
pagi itu, aku dan rakan keluar dari rumah jam 10.00 pagi. Kemudian, kami
menaiki bas menuju ke kampus. Seterusnya, kami mengambil teksi untuk ke stesen
KTM. Tiket train adalah pada pukul 10.55pagi.
Kami duduk menunggu train di bangku yang disediakan. Semasa menunggu train sampai,
kami melihat ada seorang makcik sedang menolak motosikalnya di jalan raya
belakang stesen KTM tersebut. Mungkin motosikalnya rosak. Kasihan pula aku
tengok makcik itu menolak motorsikalnya seorang diri.

Tiba-tiba, datang sebuah motorsikal yang dinaiki oleh dua orang lelaki dari arah belakang. Lelaki itu memberhentikan motorsikalnya dan bertanyakan sesuatu kepada makcik itu. Kemudian, aku lihat lelaki itu menolong makcik itu menolak motorsikalnya. Alhamdulillah.. masih ada lagi insan yang baik hati ingin menolong orang lain yang dalam kesusahan.
Oleh itu,
apa yang saya dapat katakan disini ialah, sikap pemuda tersebut perlulah
dicontohi. Hal ini kerana, nilai-nilai murni seperti inilah yang kita perlu pupuk
dan jaga supaya ianya sentiasa sebati dalam diri masyarakat di negara kita.
Percayalah,
setiap perbuatan yang baik akan mendapat balasan yang baik. In Shaa Allah J
Monday, March 11, 2013
Assalamualaikum..
Semoga
sentiasa dalam keadaan yang baik J
Hari ini
saya akan menceritakan tentang Hari Keluarga Kolej Za’ba yang berlangsung
selama dua hari iaitu pada malam sabtu dan pagi ahad baru ini. Temanya ialah
“Sehari bersama sedekad terasa”.
Pada
malam itu telah berlangsungnya senamrobik,kemudian peserta dipecahkan kepada
kumpulan-kumpulan kecil. Kami dikehendaki duduk dalam kumpulan masing-masing,
berkenal-kenalan, ada yang junior, ada yang senior dan ada juga yang sebaya. Banyak
permainan yang kami lakukan bersama dan tujuannya adalah untuk mengeratkan
silaturrahim antara satu sama lain dan juga bertujuan untuk menguji minda.
Pada
keesokan paginya, sekali lagi kami membuat senamrobik. Kemudian, kami juga
dipecahkan kepada ahli kumpulan yang baru, dan tujuannya kita akan memperoleh
ramai kenalan disamping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Setelah berada dalam kumpulan,kami diberi sarapan
untuk terus bertenaga dalam melakukan aktiviti. Creewwaahh! :p . habis makan,
kami memulakan aktiviti yang seterusnya iaitu explorace. Pelbagai cabaran telah
kami lalui sepanjang menempuh beberapa cekpoint. Ada yang kena tiup tepung,
minum kopi pekat sebagai denda, radio buruk, mencari benda tersembunyi dan
bermacam lagi. Tapi, semua aktiviti sangat menyeronokkan.
Selepas
tamat explorace, kami melakukan aktiviti terakhir iaitu sukaneka. Waktu
sukaneka waktu yang palin seronok kerana saya dapat melihat pelbagai gelagat
dan aksi peserta untuk memenangi acara tersebut. Antara permainan yang kami
main ialah, robot berjalan, baling belon air dan sebagainya. Selepas tamat
permainan, tibalah saat yan dinanti-natikan iaitu majlis penutup dan
penyampaian hadiah. Yeeaaa!
Kumpulan
kami mendapat hadiah bagi kumpulan yang paling “cool”. Walaupun tidak dapat
hadiah tempat pertama, tak apa asalkan pengalaman yang kami dapat sangat
bermakna.
Oleh
itu, bagi saya aktiviti seperti ini sangat perlu kerana kami sebagai mahasiswa
dan mahasiswa yang tinggal di bawah satu tujuan dan matlamat berada di tempat
yang sama seharusnya mengenali antara satu sama lain dan menjadikan rakan-rakan
sebagai keluarga sendiri. Tambahan pula, ada diantara kami yang tinggal jauh di
perantauan. Jadi, rakan-rakanlah yang menjadi keluarga kami disini.
Alhamdulillah, saya
mendapat rakan-rakan baru yang sangat baik disini J
Terima
kasih kawan!
Friday, March 8, 2013
Kembali ke sekolah
Assalamualaikum .. selamat petang.
Pada petang yang mendung kelabu ini saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya dan rakan pergi ke SMK Sultan Sulaiman Shah di Selongor. Disebabkan hari jumaat masa lapang kami dan tidak ada kelas, jadi kami memilih untuk membuat kerja lapangan di sekolah tersebut pada hari ini. Tugasan ini adalah merupakan tugasan daripada matapelajaran Pengurusan Pembelajaran (2p) yang memerlukan kami pergi sekolah untuk meninjau keadaan dan juga membuat laporan berdasarkan pemerhatian kami.
Kami bertolak pada jam 9.00 pagi dari kolej Za'ba dan tiba disana pada jam 10.15 pagi. Ketika itu semua pelajar sedang rehat, ada yang duduk di kantin dan ada juga yang duduk di bawah pondok-pondok berhampiran kawasan kantin. Saat melangkah kaki aku berasa agak gugup untuk masuk ke kawasan sekolah tersebut. Tambahan pula apabila memikirkan bagaimana penerimaan dan kerjasama yang diberikan oleh guru dan pelajar disekolah itu. Apabila sampai kami terus menuju ke pejabat untuk berjumpa dengan GPK Pentadbiran dan Alhamdulillah beliau sangat ramah dan melayan kami dengan baik sekali.
Kemudian, aku dan seorang lagi rakan pergi bertemu ketua bidang iaitu Puan Zanariah. Beliau juga sangat ramah dan mesra melayan kami. Pelbagai informasi telah kami dapat mengenai sekolah tersebut. Majoriti pelajar sekolah itu adalah pelajar India dan selebihnya pelajar Melayu dan Cina. Nasib baik guru-guru ramai yang Melayu. Aku berasa agak khuatir melihatkan keadaan sekolah itu kerana aku terfikir bersediakah untuk aku menjadi guru kelak? Melihatkan keadaan sekolah dan juga pelajar yang majoriti bukan berbangsa Melayu sudah tentu memerlukan guru yang mantap dari segi fizikal dan mental.
Alhamdulillah setelah mendapat pelbagai informasi yang berguna dari Puan Zanariah, kami seterusnya meninjau kawasan sekolah, melihat proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Semua ini membuatkan aku lebih bersemangat dan berusaha untuk mempersiapkan diri menjadi seorang guru yang terbaik kelak.Setelah selesai, kami pun pulang pada jam 12.30 tengahari.
Melalui pengalaman ini, saya berasa sangat gembira kerana saya dapat merasa bagaimana perasaan seorang guru yang baru masuk ke sekolah yang baru. Terutamanya guru praktikum. Mungkin perasaan inilah yang dialami oleh guru praktikum cuma mungkin mereka lebih gementar lagi pada saya. Hal ini kerana mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, rakan baru dan juga pelajar yang baru. Walaubagaimanapun, pengalaman ini sangat berharga kepada kami kerana ia dapat memberi gambaran awal kepada kami tentang suasana dan proses pengajaran dan pebelajaran di sekolah. Perlu diingatkan, tugas guru adalah bukan satu tugas yang mudah. Sekian sahaja dari saya..
Sekian :)
Pada petang yang mendung kelabu ini saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya dan rakan pergi ke SMK Sultan Sulaiman Shah di Selongor. Disebabkan hari jumaat masa lapang kami dan tidak ada kelas, jadi kami memilih untuk membuat kerja lapangan di sekolah tersebut pada hari ini. Tugasan ini adalah merupakan tugasan daripada matapelajaran Pengurusan Pembelajaran (2p) yang memerlukan kami pergi sekolah untuk meninjau keadaan dan juga membuat laporan berdasarkan pemerhatian kami.
Kami bertolak pada jam 9.00 pagi dari kolej Za'ba dan tiba disana pada jam 10.15 pagi. Ketika itu semua pelajar sedang rehat, ada yang duduk di kantin dan ada juga yang duduk di bawah pondok-pondok berhampiran kawasan kantin. Saat melangkah kaki aku berasa agak gugup untuk masuk ke kawasan sekolah tersebut. Tambahan pula apabila memikirkan bagaimana penerimaan dan kerjasama yang diberikan oleh guru dan pelajar disekolah itu. Apabila sampai kami terus menuju ke pejabat untuk berjumpa dengan GPK Pentadbiran dan Alhamdulillah beliau sangat ramah dan melayan kami dengan baik sekali.
Kemudian, aku dan seorang lagi rakan pergi bertemu ketua bidang iaitu Puan Zanariah. Beliau juga sangat ramah dan mesra melayan kami. Pelbagai informasi telah kami dapat mengenai sekolah tersebut. Majoriti pelajar sekolah itu adalah pelajar India dan selebihnya pelajar Melayu dan Cina. Nasib baik guru-guru ramai yang Melayu. Aku berasa agak khuatir melihatkan keadaan sekolah itu kerana aku terfikir bersediakah untuk aku menjadi guru kelak? Melihatkan keadaan sekolah dan juga pelajar yang majoriti bukan berbangsa Melayu sudah tentu memerlukan guru yang mantap dari segi fizikal dan mental.
Alhamdulillah setelah mendapat pelbagai informasi yang berguna dari Puan Zanariah, kami seterusnya meninjau kawasan sekolah, melihat proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Semua ini membuatkan aku lebih bersemangat dan berusaha untuk mempersiapkan diri menjadi seorang guru yang terbaik kelak.Setelah selesai, kami pun pulang pada jam 12.30 tengahari.
Melalui pengalaman ini, saya berasa sangat gembira kerana saya dapat merasa bagaimana perasaan seorang guru yang baru masuk ke sekolah yang baru. Terutamanya guru praktikum. Mungkin perasaan inilah yang dialami oleh guru praktikum cuma mungkin mereka lebih gementar lagi pada saya. Hal ini kerana mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, rakan baru dan juga pelajar yang baru. Walaubagaimanapun, pengalaman ini sangat berharga kepada kami kerana ia dapat memberi gambaran awal kepada kami tentang suasana dan proses pengajaran dan pebelajaran di sekolah. Perlu diingatkan, tugas guru adalah bukan satu tugas yang mudah. Sekian sahaja dari saya..
Sekian :)
Subscribe to:
Posts (Atom)

.jpg)






