Wednesday, March 6, 2013

Berbeza bangsa, satu bahasa..



Pagi itu aku menunggu bas seperti biasa untuk pergi ke kelas. Apabila bas sampai aku dan rakanku menaiki bas dan mencari tempat duduk yang kosong. Aku lihat, ada dua lagi tempat duduk yang kosong di bahagian belakang sekali. Aku dan rakan  terus menuju ke tempat duduk yang paling belakang dan tiba-tiba ada satu suara menegur kami..

“Selamat pagi!” kata salah seorang pelajar yang turut sama berada di bahagian tempat duduk belakang sekali bas.

Aku membalas “ selamat pagi” dengan senyuman.

“Saya orang Korea” katanya lagi.

Terkejut juga aku dibuatnya, ingatkan orang Cina Malaysia kerana sebutannya boleh dikatakan bagus. Bangga betul apabila melihat orang asing pandai bercakap Melayu.

“Kamu orang Malaysia?” katanya padaku lagi.

“Ya, saya orang Malaysia”

Pada ketika itu, dia dan rakannya yang juga pelajar luar negara sedang makan. Apa yang membuatkan aku kagum, pelajar Korea ini makan nasi kerabu!. Orang asing juga tahu makan nasi kerabu sedangkan orang tempatan sendiri ada yang tidak gemar makan nasi kerabu dan budu. Sekali lagi membuat aku berasa kagum dan bangga.

“ Kamu suka makan makanan itu?” tanyaku.

“Ya, saya suka. Rasanya bagus.”

Aku dan rakan tersenyum dengan jawapan yang diberikan.
Kemudian  kami terus berkenalan. Bertukar-tukar soalan dan pandangan. Dia mengambil jurusan bahasa Melayu dan sukan manakala rakannya pula dari  New Zealand,  mengambil jurusan sukan dan psikologi. Rakannya tidak terlalu pandai berbahasa Melayu dan terpaksalah aku speaking dengan dia untuk menerangkan perkataan-perkataan yang dia tidak faham. Walau bagaimanapun, usaha yang ditunjukkan sudah cukup membuatkan aku bangga.

Mereka belajar di UPSI untuk satu semester, dan aku sempat bertanya pendapat mereka  tentang Malaysia. Kedua-duanya memberikan respon yang baik. Mereka suka dengan suasana, makanan dan juga orang tempatan yang ramah serta tidak sombong. Apabila bas sampai ke kampus, kami pun turun dari bas untuk ke kelas, sebelum itu sempat juga kami mengucapkan selamat tinggal dan semoga berjumpa lagi.

Oleh itu, apa yang boleh saya katakan disini ialah, sebagai rakyat Malaysia dan juga bakal guru bahasa Melayu, saya berasa sangat bangga apabila orang asing dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik sekali. Terasa seperti bahasa kita amat berharga sehinggakan orang asing ingin mempelajari bahasa ibunda kita sendiri. Sebagai masyarakat tempatan, kita seharusnya menunjukkan nilai-nilai positif dan tidak berat mulut untuk bertegur sapa dengan pelajar dari luar negara (pertukaran pelajar). Hal ini sedikit sebanyak dapat mengharumkan lagi nama negara kerana semestinya apabila mereka pulang ke negara mereka, mereka akan menceritakan tentang susana dan juga masyarakat disini. Situasi ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada saya tentang betapa bernilainya bahasa Melayu kepada negara. Walaupun kami berlainan bangsa, berlainan negara, tetapi kami bertutur dalam satu bahasa iaitu bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment